Hati perlu bersih, niat perlu diperbaharui
Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah.
Segala puji-pujian hanyalah kepada Allah swt pemilik seluruh alam semesta. Tiada yang lebih Berkuasa melainkanNya. Tiada yang Sempurna melainkan kesempurnaanNya.
Aku naik saksi Tiada Tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah swt.
Allahu Allah, di mana aku perlu bermula. Hampir 2 minggu sudah aku bekerja sebagai seorang pegawai perubatan siswazah di Hospital Kajang. Alhamdulillah, Engkaulah yang memudahkan dan memberi kekuatan. Hanya kepadaMu aku serahkan segalanya.
Namun hanya satu yang paling mengecewakan aku, mengapa aku rasa sukar untuk menegakkan agama ku dan tugas ku sebagai seorang dai'e di negara Islam ini sendiri? Sungguh aku mengerti mengapa ulama ada berpujangga, aku ke Eropah aku temui Islam tetapi tidak di negara Islam sendiri.
Aku temui Islam di Britain tetapi aku merasai kehilangannya di bumi tempat berpijak ku ini ....
Namun aku telah berhijrah kembali ke sini, maka aku perlu memikirkan dan menyusun strategi untuk memberikan yang penuh baik sebagai seorang dai'e nya, bermula dengan diri ku sendiri dan kemudian mereka di sekelilingku. Walau hati ini terlalu merindui...
Maka ini wal hasil muhasabah diri ku sepanjang 2 minggu ini:
1. Hidup hanya untuk Allah swt - pedulikan semua bicara manusia terutamanya yang menjatuhkanmu.
Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.
Hadith Muslim dan Bukhari
Dan pastinya bantuan Allah itu amat dekat, tika ia datang ia bagaikan rahmat yang tidak tergambarkan.
2. Hidup ini untuk diuji
'Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).' (Al-Baqarah:214)
Aku menginginkan hidup yang indah-indah sahaja selepas habis pengajianku hingga terlupa akan hakikat kehidupan ini, hidup ini adalah UJIAN dan tidak akan berhenti hingga benar-benar terbukti bahawa hambaNya ikhlas hidup untuk Nya. Maka ingatlah wahai diri, hidup ini untuk diuji untuk kebaikan yang kembali nya nanti kepada diri sendiri juga. Maka berSABARlah dan berpegang teguhlah kepada Allah.
3. Jagalah Allah pasti Allah menjagamu, dalam setiap senyuman, setiap tangisan DIA pasti ada.
'Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya dan berdoalah kepadaNya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya. ' (Al-A'raf:56)
dan rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya, masyaAllah cantiknya ayat ini dekat sungguh pada diri ini.Allah telah berjanji semua di dunia ini adalah kebaikan kepada kita semua! SubahanaAllah.kemudian tingginya kasih Allah swt kepada hamba-hambaNya, tidak melihat kepada hasil namun kepada usaha hambaNya, walau sedikit apatah lagi yang banyak, pasti tidak dipandang enteng oleh Allah yang penting jagalah hak Nya semampu yang mungkin! walau hasilnya mungkin tidak sebaik yang disangka. Jagalah hati hambaMu ini ya Allah. Lorongkanlah dan bukakanlah jalan-jalan kebaikan kepada kami dan jauhkan kami dari durhakaMu.ameen
4. Pentingnya ilmu dalam setiap perkara.
'Tidak ada kebaikan ibadah yang tidak ada ilmunya dan tidak ada kebaikan ilmu yang
tidak difahami dan tidak
ada kebaikan bacaan kalau tidak ada perhatian untuknya.' -Saidina Ali
Perlu fahami kembali apa itu ibadat khusus dan umum supaya hati tidak merasa kosong ketika bekerja, alpa dengan dunia. Sedangkan dunia ini ladang untuk berbuat kebajikan untuk kebaikan di akhirat kelak, maka setiap saat perlu dimanfaatkan sebaiknya walau ketika bekerja dsbnya.
Islam is a way of life!
5. Jadikan pengalaman lepas kekuatan dan iktibar buat dirimu
Aku terfikir sedangkan tanpa agama fitrah kebaikan yang dititipkan oleh Allah mampu menyinar apatah lagi hati-hati mad'u ku di sini? Yang lidahnya telah membenarkan, pastinya mereka mampu menyinar dengan gemilang lagi! Maka aku tidak harus berkeluh kesah, malah aku perlu pasakkan tekad dan teruskan bekerja untuk menyebarkan agama Allah swt ini.
dan biarlah semua yang aku pelajari di bumi Uk itu mampu aku manfaatkan di sini. moga ia tidak sia-sia.
Comments
Post a Comment