Mengapa aku tekad untuk pulang

Coretan ini khas buat ayahanda, jauh di perantauan, agar ayahanda lebih mengerti isi hati anakmu ini.

Bismillah...

'tak payahlah amik biasiswa tu, ema duduk je dekat UM tu, kan elok, dekat dengan rumah. tiap-tiap minggu E amik.'

Hatiku mendengus kecewa.

'Nanti siapa nak jaga kalau ada apa-apa, negara omputih tu bukan dekat. Nad, jami tak ambil pun.'

'Mak lagi suka ema ambil peluang ni, dulu masa kecik-kecik mak nak sangat ke Al-Azhar sambung belajar agama,tapi bila atuk meninggal, takde duit mak kena berhenti sekolah. tak dapat pergi azhar, apatah lagi sambung belajar.'

Mak, maka keputusan yang ema ambil ini sebagai hadiah kepada mak, walau hati amat gusar,takut, kecut perut dan seantero dengannya. Walau waktu itu E puas menegah, namun anakmu yang degil ini masih tekad dengan keputusan untuk datang ke UK. Masih segar di ingatan aku, aku paksa E untuk mengambil dan memindahkan semua barang-barangku keluar dari PASUM. Ayahku tidak mampu berkata apa, anaknya degil seperti dirinya, di manakan kuah akan tumpah jika tidak pada lauknya.

Dan aku bakal tahu bahawa ada seribu hikmah yang tersembunyi di dalam kekentalan azam yang terpahat di hati ketika itu. Kebaikan yang hanya akan tersingkap dengan izinNya.

KYUEM

Kali pertama aku menjejakkan kaki ke KYUEM di Lembah Beringin, aku berasa lemah,

'tidak mungkin aku akan 'survive' di sini'

Aku tidak pernah berada jauh dari mak dan E lebih dari sehari, melainkan jika ada kem-kem yang dianjurkan di sekolah, itupun paling lama selama 3 hari,2malam. Tetapi kini aku akan tinggal bersama 3 orang yang tidak langsung aku kenali, berkongsi tandas dan rumah! Tiada televisyen melainkan ke 'common room' yang tidak akan aku jejaki kerana pastinya mereka amat bising! Aku tidak suka suasana yang bising dari dulu lagi, membingitkan telinga dan memeningkan kepala sahaja.

'Saya dari MRSM Jasin.'

'Saya dari SMAP Labu.'

bla bla bla, 'saya dari sekolah CONVENT KAJANG.'

Di kala itu, aku rasakan aku adalah seorang yang asing dengan pelajar yang lain, alhamdulillah teman serumah amat baik dan aku 'masuk' dengan mereka. Walau setiap dari kami berlainan 'circle of friends', Doreen, diey dan anis,aku tidak mungkin akan melupakan saat-saat bersama, terima kasih di atas segalanya.

Untuk tahun pertamaku di sana, setiap minggu aku akan pulang ke rumah! Di hati ini, rumahku adalah syurgaku. Kolej hanyalah tempat menuntut ilmu, hati akan merindui Nadiah, sahabat baik ku dari sekolah menengah.

Hijrah itu indah

Dari kejauhan Surau As-Saad tampak tenang dan seperti memanggil-manggil diriku. Tanpa aku sendiri sedari, DIA melakukan kerjaNya, hatiku mula terpaut kepada Islam, masjid, solat berjemaah, aku sering menanti-nanti untuk bangun subuh untuk solat di Surau As-Saad setiap hari. Lama kelamaan, DIA membuka pintu hatiku untuk menjadi hambaNya yang lebih baik tanpa aku sedari aku tergerak untuk memakai tudung.

Kali ini aku sekali lagi berdepan dengan E.

'Kenapa nak pakai tudung? Mak kan tak pakai, tak kesian ke dengan mak, nanti apa orang kata.Tak payah lah pakai.'

Berkecai remuk hati ini mendengarkan biacara E.

'Mak tak kisah Ema nak pakai tudung, mak lagi gembira. Mak bukan tak nak pakai tapi Allah tak buka lagi hati ni.'

'Ain gembira ema nak pakai tudung. Moga Ain pun pakai tudung juga nanti.'

Alhamdulillah, hanya Allah tahu makna sokongan dari mereka.

Tudung tiada di rumah, jika ingin memakai tudung perlu ada pin, anak tudung, banyak lagi yang diperlukan. Aku tidak pandai membawa kereta, bagaimana nak dapat semua tu? Tidak semestinya ada niat nak buat kebaikan, Allah akan permudahkan jalannya. Pasti ada halangan dan apabila ada halangan perlu ada usaha atau 'force' untuk mengatasinya.

'K.Chah, Ema nak pakai tudung tapi E tak bagi,ema tak berani nak minta E anta ke kedai. ema nak minta belikan tudung boleh?dengan barang-barang yang lain. K.chah boleh tolong ema?'

Dan Ramadhan itu mengubah seluruh hidupku, aku menjadi Lailatulema binti Abbas yang baharu, seorang yang kembali ke fitrah dan mengenal erti kehambaan, erti kehidupan. Walau aku sekali lagi mengecewakan ayahku, aku tahu inilah ujianNya yang pasti ada hikmah di akhirnya nanti.

Dan hijrah itu indah kerana ia bukannya penghijrahan fizikal semata namun ia hijrah mental dan rohani. Hijrah yang memberi damai pada jiwa dan menyucikan hati bila mana ia kembali kepada fitrah penciptaan asal kejadian yakni beribadah setiap saat hanya keranaNya.

Mengenal bahawa hidup ini bukan hanya untuk dunia namun untuk akhirat yang kekal abadi. Mengerti bahawa dunia ini adalah ladang kepada akhirat nanti.
Memahami bahawa erti kehambaan adalah hakikat kehidupan sementara ini.

Dan aku hanya mampu mendoakan kebahagiaan insan-insan yang menjadi asbab kepada hijrah diri ku, Nuur Zaffan Khalid, Siti Nor Asilah, Siti Muslihah, Khairunnisa, Emilia Habiba, Nik Zahana, Hanisah, Adrianis, Shafiqah Aina Nasir,Firyal, Majdina, Norain Jailani dan ramai lagi yang tidak mungkin aku sebutkan satu persatu namanya di sini.

Dan akhirnya selepas beberapa bulan,

'Ema nak beli tudung dekat mana?nanti E hantar.'
'Ain dan mak boleh pilihkan, ema kan tak pandai pilih yang cantik-cantik.'

Alhamdulillah, Allahu Akbar! Tidak akan aku lupakan detik indah itu ya Allah.

UK

Satu kota penuh peluang, peluang untuk lebih mengenal erti pengharapan mutlak hanyalah pada Yang Maha Esa. Bumi yang mengajar aku untuk menghargai manusia walau apa juga kelemahan dan kekuatan individu, untuk sentiasa positif dalam hidup ini dan mengajar aku bahawa ada sistem yang lebih baik untuk sesebuah masyarakat di dalamnya; negara berkebajikan itu boleh diwujudkan dan apatah dengan al-quran dan as-sunnah dalam genggaman semestinya ia suatu kepastian. Persoalan yang tinggal adalah adakah ada usaha untuk ke arah itu?

Jangan balik

'E suruh Ema jangan balik, kerja situ, jadi pakar nanti senang bila balik nanti.'

'E ema nak balik. nak jaga mak dan E.'

'Kalau macam tu,kenapa dulu nak pergi sangat? Elok duduk je sini!.'

Terkelu lidah ku, tidak mampu membalas hujah E kerana ada benarnya.

Kenapa?

Kenapa aku memilih untuk pulang walaupun aku tahu bahawa apabila aku kembali aku tidak akan berjaya dalam kerjaya ku sepertimana sahabat yang tinggal di UK.

Demi redhaNya,
dan redhaNya terletak pada keredhaan ibu dan bapa.

'Mak tak sabar ema nak balik, nanti kita pergi... kita buat .... '

Puas sudah 5 tahun hidupku aku habiskan untuk kepentingan diri ku sendiri. Aku mengembara ke merata benua dan tempat, aku melakukan segalanya yang aku inginkan dan kini tibalah masa untuk mereka.

Tiap kali aku berlainan pendapat dengan ayahku, alhamdulillah Allah masih letakkan aku di atas jalanNya dan sekali lagi peristiwa yang sama berulang. Kami bertelagah sekali lagi! dan aku dengan kedegilan diriku, dan E dengan kedegilannya. Satu yang pasti pertelingkahan kami adalah kerana E mahukan yang terbaik bagi diriku! Itu pasti!

Aku ingin pulang kerana aku tahu hati yang mulia itu merintih merindui susuk tubuh yang dibelainya sejak lahir lagi,
Aku ingin pulang kerana aku tidak sanggup lagi melihat anak bangsa terus dalam kelalaian dan kealpaan dimainkan pengkhianat bangsa dan manusia,
Aku ingin pulang kerana si comel itu memerlukan aku di sisi nya sebagai teman di kala suka dan duka,
Aku ingin pulang kerana aku ingin berbakti kepada keluarga, agama dan bangsa,
Dan itu cita-cita anakmu yang degil ini,
Anakmu bukan hanya ingin menjadi doktor semata,
Namun aku ingin menjadi muslim doktor yang bermanfaat kepada saudaranya,
ibu bapanya,
keluarganya,
bangsanya,
dan negara.

Maafkan diri anakmu sering kali degil, memberontak keputusan yang dianjurkan. Ya Allah kepadaMu aku bermohon petunjuk Mu moga Engkau bukakan dan lorongkan aku pada jalan-jalan kebaikan untuk agamaku selalu.Ameen ya Rabb.
Pengajaran

Selain dari plot-plot cerita tersebut, ingin juga saya kongsikan sedikit pengajaran mengenai hijrah diri ke arah kebaikan hasil dari pengalaman diri:

1. Hijrah itu payah, apatah lagi ke arah kebaikan. Jangan disangka niat yang baik lillah ta'ala akan dikurniakan dengan sekelip mata olehNya. Bahkan ia penuh dengan onak dan duri ,cabaran dan dugaan kerana itu janjiNya. Setiap insan yang ingin dekat padaNya akan diuji untuk Dia ketahui siapa yang benar-benar ikhlas keranaNya. Jadi penuhi diri dengan ilmu sebagai bekalan sepanjang perjalanan, tidak dilupakan juga sahabat-sahabat buat pemberi semangat dan pengingat setia.

2. Letaklah hukum Allah di atas segala-galanya, redha Allah melebihi kesukaan manusia. Walau seisi dunia ingin menganiaya mu tidak akan mampu sekiranya DIA tidak menetapkan. Maka yakinlah, tekadlah dengan keputusan walau ditentang (yakni dalam kebaikan)

3. Dakwah itu susah dan kerja kita hanyalah untuk bekerja! bukan menentukan hasilnya. Nabi Nuh sendiri berdakwah pada kaumnya selama 903 tahun dan tidak sampai 100 pengikut baginda. Apatah kita manusia yang penuh kelemahan. Maka, bekerjalah sahaja dan serahkan selebihnya kepada Yang Maha Berkuasa.

4. Sayangilah ibu bapa anda :) dan adik anda,si comel ;)

Wallahu'alam

Comments

  1. mashaAllah kak ema =) satu hijrah yang besar perlu kak ema lakukan dulu.
    semoga kak ema terus thabat =) dan saya mendoakan yang terbaik untuk perjuangan akak di tanah air. semoga dapat berbakti kpd insan tersayang, mak, E dll, terutamanya remaja di malaysia

    -sabrina, prauge

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Pena telah diangkat dan dakwat telah kering

Being sick, stressful and thankful at the same time

Being alone