Kita diciptakan dengan kasih sayang
Alhamdulillah, segala puji-pujian hanyalah kepadaNya Pencipta seluruh alam raya yang tiada cacat celanya. Langit tertegak dengan izinNya dan setiap makhluk sentiasa bertasbih memuji kebesaranNya. Alhamdulillah, diberikan aku penglihatan melihat seisi alam tanpa kekaburan, pendengaran dan kesihatan untuk terus bersyukur padaNya.
MasyaAllah banyak sungguh telah dilalui dalam bulan ini, walau terasa lelah dan terkadang jemu dengan dunia namun pasti semuanya tiada yang sia-sia. Moga setiap lelah yang dirasa, kekangan mata hingga dinihari dan sakit ini menjadi hujjah untuk bertemu denganNya di sana nanti.Ameen.
Kasih sayang
Baru ketemu lagu yang didendangkan oleh Opick, Allah hu Ya Salam. Dan terus menusuk ke kalbu seorang hamba yang sering melupakan. Astaghfirullah, ampunkan aku hambaMu yang hina ini ya Allah.
'Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, dan juga (kalaulah tidak kerana) bahawa Allah Amat melimpah belas kasihanNya, (tentulah kamu akan ditimpa azab dengan serta-merta). ' (An-Nur:20)
Belas kasihnya tidakkan terjangkau oleh akal manusia, rasa cintaNya kepada hamba-hambaNya melangit luas. Dalam setiap nafas yang diambil, setiap denyutan nadi dan gerak langkah hambaNya terpamer sebuah kasih tulus dari seorang Pencipta kepada hambaNya. Betapa hinanya diri ini sering melupakan hakikat kasih sayang ini.
Lalainya kita dengan dunia, hanyut kita pada hasutan syaitan durjana membawa kita jauh dari mengenali kasih sayang yang hakiki ini. Tiada satu pun yang diperintahkannya untuk membawa kita ke lembah durjana malah diperintahkan untuk kebaikan diri kerana tidak sedikit pun DIA ingin menzalimi hamba-hambaNya apatah lagi mereka yang beriman.
Dek rahmah Nya juga DIA tidak pernah jemu dengan kelemahan diri manusia, sentiasa memaafkan dan sentiasa mengingatkan. Namun perlu juga ingat bahawa DIA juga Maha Pembalas (Al-Muntaqim) oleh itu kita tidak boleh berada dalam keadaan selesa senantiasa kerana jika kita sentiasa melupakan pastinya suatu hari nanti kita juga akan dilupakan.
Tegakkan DEEN dalam diri mu
Bila diri terasa indahnya kasih sayang si Pencipta kepada hamba-hambaNya lebih mudah untuk hati dibentuk dan akal dipandu berdasarkan ketetapan Allah swt. Sedangkan laut berapi sanggup direnangi oleh si kekasih apatah lagi jika disuruh melakukan perkara kebaikan yang selari dengan fitrah manusia,pastinya tiada halangan untuk dilaksanakan.
Selamilah hakikat kehidupan yang sementara ini.Acapkali kita sebut mengenai keutamaan, di manakah keutamaan DIA dalam hidup kita? Sudah cukupkah untuk menjadi hujjah untuk bertemu denganNya kelak. Astaghfirullah, adakah hidup kita sekitar berada di hadapan laptop? bermain video game? berbual-bual kosong? menonton tv?
Ayuh sahabat, kita cuba tegakkan deenul-haq ini dalam diri kita, sekiranya dengan bermain video game kita lebih dekat denganNya (although i doubt this :| ) lakukanlah selagi mana tidak bercanggah dengan ketetapanNya. Ingatlah tiada sedikit pun DIA ingin menzalimi hamba-hambaNya hanya kita perlu menjaga batas-batas dan ketetapan Allah swt dalam setiap hari kehidupan sebagai bukti cinta kita kepadaNya. Dan ingat! semuanya ketentuan ini untuk kebaikan diri kita sendiri tidak sedikit pun untuk manfaat kepada Yang Maha Kaya.
Allah hu Ya Salam-Engkau tenangkanlah hati-hati kami, penuhilah kami dengan rasa cinta padaMu dan bukan pada dunia yang penuh tipu daya dan melalaikan. Redhalah Engkau pada kami yang hina ini ya Allah....
Mak,E dan Ain, rindu sangat... ya Allah lorongkan kami pada jalanMu
Dalam pencarian,
mencari erti kehambaan
hakikat kehidupan
Comments
Post a Comment