Muhasabah diri

'Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).' -Al-Baqarah:214


Itu adalah suatu janji yang pasti akan terjadi kerana itu janji dariNya. Dalam setiap detik kehidupan Allah akan menguji kita, tika mana kita merasakan bahawa aku kini telah sampai ke penghujung jalannya, ia datang kembali menguji kita. Kerana janjinya benar dan pasti berlaku. 


Tiada guna hati mengeluh, tiada guna lidah berbicara menutur bisa dan putus asa kerana setiap yang terjadi adalah ketentuanNya dan pasti ada hikmahnya. Maka hati perlu membersihkan pancaindera yang lima dan minda untuk kembali mengerti hakikat dan tujuan kehidupan untuk membina kekuatan untuk terus melangkah walau pun payah. 


Hanya kata yang mampu berbicara meluntur rasa


Sudah hampir 6 bulan aku bekerja dan hampir 10 bulan berada di Malaysia namun hati ini terasa seperti kosong dan jiwa meronta mencari ketenangan yang pernah aku ketemu suatu masa dulu. Banyak lompang yang aku kira menyumbang kepada permasalahan yang aku alami, persoalannya apakah jalan keluarnya? 


Semuanya ada di dalam surat cintanya wahai diri, hanya perlu engkau selami dan amalkan.


Aku sangat sayangkan ibadat ku ini, bukan semua hamba-hambaNya berpeluang menabur budi di medan jihad ini seperti kata Prof.Muhaya ianya medan pahala yang luas. Namun mengapa dari sehari ke sehari semangat ku semakin luntur, hanya lelah dan keluhan yang sering aku rasa dan bukannya kegembiraan dan ketenangan yang aku impikan. Kadangkala aku bermimpi mungkinkah jika aku bersama saudara ku di Gaza aku akan lebih gembira? walau aku sedar aku tidak mungkin diulit mimpi indah di malam hari dan nyawaku setiap hari berada di hujung tanduk... Allahu Allah, mengapa hati ini tidak setenang dahulu? 


'Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.' -An-Nahl:97

(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan "zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.'-Ar-Rad:28

'Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar) dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.'-At-tghabun:11


Jawapannya jelas lagi nyata mungkin aku semakin jauh dariNya dek kesibukan dengan dunia, leka dengan kerja yang mungkin belum menjadi amalan ku untuk akhirat sana. Mungkin 'tanaman di ladangku' ini belum cukup baja dan siramannya untuk membuahkan hasil kepada penanamnya. 


Ya Allah,bantulah hambaMu ini, lorongkan aku kepada jalan-jalan kebaikanMu, ikhlaskan hati ku, bantulah aku meraih redhaMu.... moga ini jalanku menggapai syurgaMu untuk bertemuMu.ameen Ya Rabb. 



Comments

Popular posts from this blog

Pena telah diangkat dan dakwat telah kering

Being sick, stressful and thankful at the same time

Being alone