Muhasabah hari kemenangan 2009

Alhamdulillah, tahun ini tahun ke lima Syawal disambut di bawah lembayung hidayahNya. Segala puji-pujian hanya padaNya, pemilik semesta alam buana, tiada kekuatan melainkan dariNya.

Demi jiwa yang di dalam kuasaNya, sungguh Dia akan menguji hamba-hambaNya hingga ada di kalangan mereka yang beriman bertanya, di manakah pertolongan Allah swt? Dan sungguh pertolongan itu amatlah dekat.

Dan aku, tidak lari dari sunnah ketentuan Allah swt, diuji dan diuji hingga tiba hari yang dijanji, hari yang pasti, detik datangnya malaikat Izrail mencabut nyawa dari diri.

Ya Allah, banyak sungguh Engkau perlihatkan aku mengenai kehidupan dalam sebulan Ramadhan ini. InsyaAllah akan saya ambil peluang untuk berkongsi sedikit sebanyak buat bekalan diri terutamanya, yang sering lupa dan leka.

Sabar itu sukar, namun perlu dipupuk

Sungguh, jalan sabar itu dengan solat yang khusyuk dan dua perkara ini sukar dicapai. Dan bulan Ramadhanlah bulan paling sesuai mendidik jiwa setelah 11bulan bergelumang noda dan dosa akibat rakusnya nafsu dan hasutan syaitan durjana.

' Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.' (2:183)

dan Taqwa adalah hadiahnya, buat bekalan diri untuk menempuh 11bulan seterusnya.

Walau apa yang dirancang tidak dapat dilakukan kerana menjaga ayah di rumah yang sakit, namun aku belajar erti bersabar. Bersabar dalam erti kata yang sebenar. Bersabar ketika aku sedang marah. Alhamdulillah,ya Alllah Engkau berikan aku kekuatan.

Redha pada ketentuanNya, tawakal dengan sepenuh jiwa

Jangan berkalau jika inginkan ketenangan memenuhi jiwa dan raga. Kerana berkalau itu jalan kepada syaitan meracuni minda. Segala yang berlaku ada hikmahnya, sabar itu kuncinya. Dan setelah engkau berusaha dan terus berdoa, tawakallah kepada Allah swt yang tidak pernah menzalimi hamba-hambaNya.

'Katakanlah (wahai Muhammad): Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung yang menyelamatkan kami dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal' (9:51)

Hanya Dia yang Maha Sempurna

'Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumnya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah. (4:28)

Tiada langsung manusia yang sempurna di dunia ini. Ingatlah wahai diri, yang sentiasa mengharapkan manusia untuk sentiasa memenuhi kehendak diri. Kerana jika itu yang dicari, kelak hanya kecewa yang bakal tiba. Terimalah setiap diri seadanya, berharaplah hanya kepada Allah swt, pergantungan hambaNya, hanyalah kepada pemilikNya.

Dan aku bermohon kekuatan, untuk menerima kelemahan semua saudaraku, ibu dan ayahku, adikku dan sahabat ku. Moga mereka juga menerima kelemahan diri ini.

Hidup ini sentiasa membuat pilihan

'Dan sesiapa yang diberi hidayat petunjuk oleh Allah (dengan sebab pilihannya yang benar), maka tidak ada sesiapapun yang dapat menyesatkannya. Bukankah Allah Maha Kuasa, lagi berhak membalas dengan azab seksa (kepada golongan yang bersalah)?' (Az-Zumar:37)

'Dan tiadalah bagi mereka sebarang penolong yang lain dari Allah yang dapat memberikan pertolongan kepada mereka dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah (disebabkan pilihannya yang salah) maka tidak ada baginya sebarang jalan (untuk mendapat hidayat petunjuk).'(As-Shura:46)

Tidak pernah tidak setiap hari kita terpaksa membuat keputusan, nak pakai baju apa,nak ke mana, bila nak tidur dsbnya, walau keputusan yang rutin kadangkala diri sering kali keliru,apatah lagi apabila pilihan yang diberikan akan menentukan bagaimana kelak hidup ini bakal ditempuhi.

Masih saya ingat, keputusan untuk berhijrah kepada yang lebih baik, untuk mendekatkan diri kepadaNya, menjarakkan diri dari keluarga, hanya Dia yang tahu betapa peritnya untuk dihadapi. Masih ingat, hari raya itu,perubahan yang drastik itu mengejutkan semua yang datang berkunjung. 'Kenapa pakai stocking dalam rumah?', 'kenapa tak nak salam dengan sepupu?' 'kena ke pakai tudung dalam rumah juga?' dan pelbagai soalan yang banyak membuatkan diri bermuram durja, namun Alhamdulillah, Dia lah punca segala kekuatan. Pilihan yang benar akan dibantu olehNya. Yakin!

Begitulah sebaliknya wahai sahabat. Pilihan yang salah, yang dibuat oleh kita sendiri akan memberikan natijah yang buruk,jika tidak di sini ,di akhirat nanti, naudzubillah. Jauh aku merantau, mencari erti kehidupan. Dari kota kecil kajang, ke tempat jin bertandang di lembah beringin dan akhirnya ke benua eropah... banyak telah aku lihat, yang ada agama namun tidak berguna, yang tidak percaya, namun menjadi manusia. Yang menjadi hamba nafsu , yang menjadi hamba dunia dan hiburan sekaligus syaitan durjana. Hasilnya, akal kurniaan Allah itu jualah yang membezakan setiap makhlukNya, hanya pada mereka yang berfikir akan Allah kurniakan hidayahNya.

Berfikir sebelum membuat apa jua keputusan, mengambil tindakan jangan bersikap terburu-buru, perhalusi setiap pilihan yang ada, bersabar dalam apa jua moga diberikan cahaya.

Dan aku perlu lebih banyak berfikir, memasukkan diri dalam golongan ulul albab ini.Moga aku mendapat taufiq dan hidayahNya dalam setiap tindakan dan helaan nafas ini.

Moga dapat juga aku menjadi pembantu,penyuluh jalan mereka di sekeliling ku.Moga tahun aku lebih istiqamah dalam dakwah ini, berkorban dan bukan sekadar menyumbang.Ameen.


Comments

  1. selamat hari raya maaf zahir batin ema!=) kalau kt msia..jmput dtg umah kat bangi yer..

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum wbt k.eli!
    selamat hari raya,maaf zahir dan batin! Ema dh balik uk.xdapat nak datang raya tapi takpe,lagi setahun setengah ema dtg raya umah akak :) insyaAllah. akak, jaga diri,moga Allah permudahkan segalanya!

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Pena telah diangkat dan dakwat telah kering

Being sick, stressful and thankful at the same time

Being alone