Sederhana itu kunci kebahagiaan

Alhamdulillah segala puji-pujian hanyalah kepada Allah swt, yang Maha Sempurna lagi Maha Pengasih.

Ujian itu memang dugaan

Kadangkala kita tertanya kenapa kita diuji sedangkan kita mencuba sedaya upaya menjaga hak-hakNya dan pada manusia lain, namun kita lupa bahawa Allah swt telah jelas berjanji kepada hamba-hambaNya bahawa kita WAJIB untuk diuji untuk melayakkan diri ke syurga yang mahar harganya tidak mampu dibayar tanpa sebarang pengorbanan.

Disebabkan hakikat inilah kita perlu benar-benar arif dan menghayati kisah hidup Nabi Muhammad saw kerana di situlah diri akan terasa betapa kecil dan kerdilnya diri ini berbanding si dia, kekasih hati Maha Pencipta. Hidup baginda penuh ujian dan cobaan yang tidak mampu untuk didepani makhluk biasa-biasa. Apatah lagi baginda juga merasakan lelah hasil dari ujian yang diturunkan oleh Allah swt, hingga baginda berdoa dengan penuh penyerahan diri di Taif berikutan penolakan dakwah baginda,

" Wahai Tuhanku, kepada Engkau aku adukan kelemahan tenagaku dan kekurangan daya-upayaku pada pandangan manusia. Wahai Tuhan yang Maha Rahim kepada sesiapa Engkau menyerahkan daku?Kepada musuh yang akan menerkamkan aku ataukah kepada keluarga yang engkau berikan kepadanya uruskanku, tidak ada keberatan bagiku asal aku tetap dalam keredzaanMu. Dalam pada itu afiatMu lebih luas bagiku. Aku berlindung dengan cahaya mukaMu yang mulia yang menyinari segala langit dan menerangi segala yang gelap dan atasnyalah teratur segala urusan dunia dan akirat, dari Engkau menimpakan atas diriku kemarahanMu atau dari Engkau turun atasku azabMu kepada Engkaulah aku adukan hal ku sehingga Engkau redha. Tidak ada daya dan upaya melainkan dengan Engkau"

Maka apatah lagi kita hambaNya yang lemah lagi hina pasti akan merasa teruji dan terbeban dengan semua ujian yang melanda maka apakah jalan keluar daripadanya?

'Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah). ' (Al-Baqarah:214)

Ya, dengan ber SABAR dan ber PEGANG TEGUH dengan agamaNya yakni tidak berpaling ke arah kekufuran dengan menyesali dan mempersoalkan takdir ilahi dan juga berputus asa.
Teruskan juga melangkah walau payah kerana itu sunnah untuk diuji dan merasa teruji.

Bersederhana

Oleh itu bersederhanalah dalam apa jua keadaan supaya ketika apa jua ujian yang menimpa diri tidak akan merasa terkilan dan memakan diri. Sayangilah sesama kita seadanya, kerana bila kehilangan dirinya, kita masih mampu meneruskan kehidupan. Hakikat kehidupan bukan milik penuh kita, ia hanyalah pinjaman sementara cuma. Maka bersederhanalah melayari bahtera kehidupan ini, letakkan dunia di tangan mu dan bukan terpasak teguh di hatimu.

Usahamu dalam setiap perkara juga bukan penentu kejayaanmu, maka bersederhanalah dalam bercita-cita, impikan kejayaan dan pada masa yang sama ingatkan diri bahawa Allah jua yang menentukan bagaimana hasilnya. Pastikan keseimbangan dalam setiap tindakan dipelihara, berpada-padalah walau dalam perkara kebaikan. Maksud saya di sini, jangan terlalu memberi hingga memakan diri seperti peribahasa, bagaikan lilin membakar dirinya. Kita boleh sahaja memberi tanpa kehilangan kepentingan diri, memberi dan menerima ia adalah kitaran yang perlu ada kerana tidak mampu seseorang untuk memberi tanpa menerima dahulu. Bagaimana mungkin seorang guru dapat mendidik anak muridnya sekiranya tiada ilmu?(yakni menerima dari guru nya dahulu)

Diriwayatkan dari Sufyan Ibn ‘Abdullah r.a. menceritakan; ‘Aku telah berkata kepada Rasulullah s.a.w.; Ya Rasulullah! Sebutkan untukku di dalam Islam ini satu ungkapan yang mana aku tidak akan bertanya lagi tentangnya dari orang lain selain engkau’. Jawab Rasulullah s.a.w.; ‘Katakanlah; ‘Aku beriman kepada Allah’ dan kemudian hendaklah kamu istiqamah’.
(Hadis riwayat Imam Ahmad, an-Nasai, Muslim, at-Tirmizi dan Ibnu Majah)

Dan kunci kepada istiqamah adalah bersederhana

Jadi ayuh kita mempraktikkan bersederhana dalam semua perkara agar dapat istiqamah dalam kebaikan untuk kebahagiaan di dunia dan terutamanya di akhirat. Ameen ya Rabb

Comments

Popular posts from this blog

Pena telah diangkat dan dakwat telah kering

Being sick, stressful and thankful at the same time

Being alone