Syukur

'Dan sesungguhnya Kami telah menetapkan kamu (dan memberi kuasa) di bumi dan Kami jadikan untuk kamu padanya pelbagai jalan penghidupan (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.' (Al-A'raf:10)

Penjara dunia

Hati berdebar mengetahui bahawa hari ini kaki ini akan melangkah ke penjara. Dari hari sebelumnya lagi perasaan di hati bercampur baur antara takut, mungkin gerun dan gembira kerana berpeluang untuk menjejakkan kaki ke penjara. Sungguh, dari luar lagaknya seperti suatu penjara besi yang tiada penghujungnya namun apabila masuk ke dalam, sunyi dan sepi. Tiada kelihatan susuk tubuh yang menggerunkan yang puas dibayangkan di malam harinya. Sedikit rasa kecewa terdetik di hati namun niat utama masih belum terlangsai, untuk bertemu pesakit mental di dalam penjara dunia ini.

Suasana di hospital penjara amat berbeza dengan di hospital umum, tidak sibuk dan semuanya seperti tahu bahawa ini bukan tempat 'main-main'. Mata mereka melilau melihat perempuan bertudung yang mungkin merupakan wanita pertama yang pernah datang sebegini rupa, aneh dan aku tidak berani untuk berpaling merenung ke dalam mata mereka. Semuanya lelaki diletakkan di dalam sel penjara seperti mana yang biasa dilihat di televisyen. Melintasi mereka, aku insaf, kebanyakan mereka masih muda, mungkin lebih muda dari ku. Namun sebahagian hidup mereka akan dihabiskan di penjara dunia ini, bila mana darah muda masih segar mengalir dan tenaga masih bisa dikerahkan ke arah kebaikan.

Masuk ke bilik temu bual, seorang lelaki berumur 22 tahun di bawa masuk. Dia kelihatan biasa sahaja penuh dengan senyuman tidak sedikit pun aku duga susuk tubuh itu pernah cuba merampas hidup manusia lain dan penuh dengan kebencian kepada dunia dan kehidupannya.

Aku tunduk dan mengeluh panjang....

Sudah masuk minggu ke dua aku dalam bahagian mental ini. Seperti mana di tahun tiga, perasaan itu datang kembali, alhamdulillah aku tunduk bersyukur ya Allah, aku mempunyai 'tali' kukuh untuk aku berpegang dalam apa jua keadaan. Mereka mudah mengeluh, berputus asa dan hilang arah dan punca kehidupan. Dan aku yakin puncanya kerana ketiadaan keyakinan kepada Allah swt dan qada' dan qadar, tiada 'safety netting' dalam mendepani hidup yang penuh cabaran ini. Bila mana fitrah diri dinafikan seluruh anggota menanggung akibatnya, hati resah dan gelisah, akal buntu memikirkan asal kejadian dan jiwa meronta mahu dikembalikan kepada fitrah kejadian yakni meyakini bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah swt.

Tahukan sahabat bahawa pesakit mental kebanyakannya mengalami episod yang pertama ketika waktu muda. Jika direnungkan, waktu inilah yang akan menentukan bagaimana hidup kita di akhirnya, inilah waktu kemuncak kehidupan manusia. Kelulusan universiti, pekerjaan, perkahwinan dan kebebasan untuk menentukan jalan hidup akan dimiliki norma nya di waktu ini. Disebabkan ini jugalah waktu ini merupakan waktu paling penting dan mampu memberi tekanan yang besar dalam kehidupan.

Dan bila kita menelesuri sirah perjalanan hidup baginda saw, para sahabat dan ulama' waktu muda ini jugalah seluruh tenaga, masa dan harta mereka dikerahkan untuk agama Allah swt yang akhirnya membawa mereka kepada kebahagiaan di dunia dan terutamanya di akhirat! Berbeza dengan anak muda kini, waktu paling berguna ini dihabiskan dengan dunia semata-mata, masa dihabiskan untuk keseronokan di dunia yang akhirnya membawa kepada durjana dan tekanan jiwa.

Betapa jauhnya kita dari sunnah Nabi Muhammad saw, ayuhlah kita kembali dan berniat bersama-sama untuk memanfaatkan masa muda ini yang dijanjikan syurga kepada 7 golongan pemuda-pemuda yang dikhabarkan oleh Allah swt.

Sabda baginda saw: '7 golongan yang akan dinaungi oleh Allah SWT pada hari yang tiada
naungan selain naungan kecuali naungan-Nya iaitu pemimpin yang adil, pemuda yang
membesar dengan ibadah dengan Tuhannya, seorang lelaki yang hatinya terpaut
dengan masjid, dan 2 pemuda yang saling mengasihani bertemu dan berpisah kerana
Allah SWT, dan pemuda yang digoda oleh seorang wanita bangsawan dan cantik lalu
berkata “Sesungguhnya Aku takut kepada Allah SWT, dan pemuda yang bersedekah
sebelah tangannya hingga tidak diketahui tangan sebelah yang lain, dan pemuda yang
mengingati Allah seorang diri dan menggugurkan air matanya.'

Klinik dementia

Wahai sahabat ingin aku khabarkan suatu perkara,

Tahukah engkau bahawa jangka hayat ibu mu tidak lama?

Sudahkan engkau teliti setiap kerut di muka ibu mu hasil titik peluh nya membesarkan kita.

Begitu juga uban-uban yang mengubah rupa ibu mu kelihatan lebih berumur dari biasa.

Matanya yang kedup dan layu yang mampu menceritakan seribu jerit perit kehidupan memastikan engkau lengkap segalanya.

Kudrat tenaga yang tidak sekuat waktu mudanya dek membanting tulang empat kerat untuk mencari sesuap rezeki untuk kita.

Sudahkan engkau sedar bahawa hayat mereka tidak lama? Bahawa bila-bila masa sahaja dia akan meninggalkan kita.

Dan tiada lagi lembut suara memarahi dan menasihati kita,

Hilanglah susuk tubuh yang sentiasa setia berdoa dan memastikan kita bahagia walau diri merana.

Perhatikan betul-betul wahai sahabat kali ini bila engkau pulang ke pangkuannya,

Peluklah susuk tubuh itu dan rasakan segala pengorbanan yang telah dilakukannya agar engkau bisa menghargai dan menjadi anak yang lebih berguna untuknya,

Bukan hanya di dunia namun pastinya untuk kehidupan yang lebih hakiki, di akhirat sana.

Ayuh sahabat, sebelum mereka lupakan kita kerana masalah kesihatan seperti dementia/nyanyuk atau sebelum mereka pergi untuk selama-lamanya, marilah kita berbakti kepada ibu kita. Biarkan mereka meleteri kita, kerana itulah 'alunan' merdu yang bakal kita rindui kelak, biarkan mereka bercerita pengalaman mereka berulang kali kerana mereka telah mengorbankan masa mudanya untuk membesarkan kita.

Ayuh jadi PEMUDA yang berBAKTI pada AGAMA dan ingatlah pesanan baginda saw:

“Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku layan dengan sebaik-baiknya?” Baginda menjawab : “Ibu kamu”. Dan dia bertanya lagi : “Kemudian siapa?”. Baginda menjawab lagi : “Ibu kamu” Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa” Baginda menjawab lagi : “Ibu kamu”. Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa ? “. dan barulah Rasulullah S.A.W menjawab: “Bapa kamu” [ Sahih al Bukhari hadis no 5971 ]


Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Pena telah diangkat dan dakwat telah kering

Being sick, stressful and thankful at the same time

Being alone