Ujian ini

Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah, segala puji-pujian hanyalah kepadaMu, Yang Maha Mengetahui setiap tindakan dan kata hati hamba-hambaNya. Tiada satu makhluq yang berjalan di muka bumi di luar pengetahuan hamba-hambaNya, tiada satu makhluq yang bernafas tanpa rahmat dariMu, Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Janjinya

'Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta' (Al-Ankabut:3)

Dan itulah jalan-jalan orang yang ingin dekat kepada Sang Pencipta. Semakin diri ingin menjadi terbaik di hadapanNya, semakin akan DIA menguji diri ini untuk diperlihatkan kebenaran himmah dan tindakan yang dilakukan. Hanya hamba-hamba Allah yang terpilih sahaja yang akan diuji dan setiap ujian adalah mengikut kesanggupan hamba-hambaNya.

Janjinya juga bahawa setiap ujian adalah suatu usaha pembersihan jiwa dan niat yang terkadang terpalit dek lumpu dunia yang sentiasa cuba menipu manusia. Allah jua berjanji kepada mereka yang bersabar bahawa akan pertolonganNya amat dekat dan ganjaran yang besar dariNya sepertimana sabdaNya:

' Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah). '(Al-Baqarah:214)

'Pengikut-pengikut Nabi Musa merayu, lalu) Musa berkata kepada kaumnya: Mintalah pertolongan kepada Allah dan bersabarlah, sesungguhnya bumi ini kepunyaan Allah, diwariskannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa' (Al-Araf:128)

'Sekarang Allah telah meringankan daripada kamu (apa yang telah diwajibkan dahulu) kerana Dia mengetahui bahawa pada kamu ada kelemahan; oleh itu jika ada di antara kamu seratus orang yang sabar, nescaya mereka akan dapat menewaskan dua ratus orang dan jika ada di antara kamu seribu orang, nescaya mereka dapat menewaskan dua ribu orang dengan izin Allah dan (ingatlah) Allah berserta orang-orang yang sabar. '(Al-Anfal:66)

Aku yakin pada janjiMu ya Allah

Dan aku kini diuji dengan ujian yang berat di mataku namun Engkau telah berjanji bahawa 'tidak akan uji hamba-hambaMu melainkan sesuai dengan kesanggupannya...'. Engkau juga berjanji bahawa sekiranya aku bersabar Engkau akan mendatangkan pertolonganMu dan akan memberikan kesudahan yang baik pada kami. Engkau juga tidak akan pernah menzalimi.

Sungguh aku yakin ya Allah.

Maka dengan penuh kerendahan aku bermohon kekuatan dariMu, moga aku redha walau apa jua penghujung cerita ini.

Satu doaku , jangan Engkau ambil nyawanya melainkan dia mati dalam keimanan dan taubatnya diterimaMu. Moga aku dapat bertemu dengannya di syurga nanti.ameen. Tiada yang berkuasa mengubah hati-hati hambaMu melainkan Engkau. Jangan biarkan kami terus dalam kesesatan ya Allah. kasihanilah, kasihanilah ...

Mohon doa sahabat semua untuk ayah saya yang sedang sakit. Mohon juga saya diberikan kekuatan berdepan 3 lagi peperiksaan yang akan berakhir 14jun ini dan berjaya menamatkan ijazah ini.ameen.

-aku tidak lemah ,
aku mampu tersenyum,
aku akan terus berusaha,
aku akan terus hidup,
selagimana,
DIA ada di sisi...
bi'iznillah

dalam mencari makna kehambaan, hakikat kehidupan

Comments

Popular posts from this blog

Pena telah diangkat dan dakwat telah kering

Being sick, stressful and thankful at the same time

Being alone