Penonton atau Pemain?

Alhamdulillah,alhamdulillah,alhamdulillah.
Hanya lafaz tahmid dan takbir yang mampu aku lafazkan bila mana Husni Mobarak meletakkan jawatan petang tadi. Dan aku hanya mampu tunduk bersujud pada Mu yang Maha Merancang dan Maha Menentukan. Bukan sahaja di Mesir, malah gelombang perubahan itu telah bermula di kebanyakan negara Islam seperti di Turki,Tunisia, Sudan dan Palestin semestinya.

Mengapa ianya amat penting?

Aku bukanlah insan yang gemar kepada politik,jauh sekali. Namun aku mengerti bahawa bila setiap diri ingin kembali kepada fitrah yang telah Allah titipkan maka ianya suatu kebaikan yakni bila mana setiap hati benci kepada kezaliman dan ingin menegakkan keadilan. Dan keadilan itu adalah hak milik mutlak Allah swt.

Dan aku sedar ia adalah satu pandemik! yang mampu menjangkiti sesiapa yang 'dekat' padanya. Sepertimana berjangkitnya Malaysia dan seluruh komuniti Islam dengan tertubuhnya jemaah yang pertama oleh Imam Hassan Al-Banna selepas jatuhnya khilafah Islamiyyah, aku jua mengharapkan 'demam' yang sama mampu menyerang komuniti Islam kini yang didodoi mimpi-mimpi enak.

Perjuangan ini perjuangan akidah

Ketahuilah saudaraku bahawa perjuangan ini hanyalah bermatlamatkan untuk menegakkan agama Islam ini pada tempatnya kerana keyakinan yang jitu bahawa dengan agama yang diredhai Allah swt sahajalah semua jiwa mampu hidup sejahtera. Bukan hanya dengan mengambil sebahagian sahaja suruhannya, namun seluruh ajaran yang disampaikan melalui Nabi Muhammad saw dan meninggalkan larangannya juga!

Sungguh telah jauh kita kini dari ajaran Al-Quran dan As-sunnah, dalamilah dan perhalusilah keadaan masyarakat dan umat di zaman ini, tidak perlu untuk kita pergi jauh ke Mesir tetapi mari kita lihat masalah di Malaysia sendiri.

Oleh itu saya sarankan untuk melihat cerekarama, Iqra untuk menjadi bahan penyuntik diri agar diri terbangun dari lena yang panjang ini. (sila klik di sini )

Pentingnya 'tangan-tangan' dari atas untuk mencegah kemungkaran dan mendidik ke arah kebaikan dan pembentukan masyarakat untuk mengelakkan masyarakat terus dalam kemaksiatan. Masakan ketam mampu mengajar anaknya berjalan lurus wahai sahabat! Maka amat penting untuk kita fahami mengapa kita perlu memilih pemimpin yang benar-benar mampu meletakkan Islam pada tempatnya seperti yang diberitakan oleh Allah

'Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: Wahai ayah, ambillah dia menjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah' (Al-Qasas:26)

Seluruh dunia telah berubah ke arah kebaikan, menumbangkan kezaliman dan menegakkan keadilan. Masihkah kita ingin menjadi seperti katak di bawah tempurung? Berdiam diri walaupun tertindas sedangkan kehidupan yang lebih baik mampu untuk diperoleh?

Saya ingin menceritakan satu analogi untuk menyampaikan maksud yang ingin dikongsikan. Kebanyakan manusia lebih sukakan makanan 'fast food' daripada makanan yang terpaksa dimasak, contohnya kita ingin memakan ayam 'marrinated' majoriti akan lebih gemar untuk mengambil jalan mudah bukan? yakni pergi sahaja ke Nandos dan seangkatan dengannya. Dan berapa ramai yang sanggup untuk memasak ayam 'marrinated' tersebut dari awal, dah lah perlu diperam kemudian dipanggang dan mengambil masa yang lama.

Ya! itulah manusia, hambaNya yang lemah dan tergesa-gesa. Sukakan jalan yang mudah, suka kepada keselesaan dan cepat melatah jika diuji, dan diri ini termasuk jua di dalam golongan di atas. Oleh sebab itu, kebanyakan kita juga hanya mampu berkata, 'cukuplah tu syukur dapat la juga .... ' 'takpe kita dah senang berbanding dahulu...' 'kan boleh solat, puasa cukuplah...'

Namun sekiranya ayam Nandos itu tidak halal/ada syubhah adakah kita masih ingin memakannya walaupun outputnya sama sahaja? Tentu tidak! kita mahukan pengesahan dari JAKIM dan pihak-pihak yang berkuasa. Samalah seperti kehidupan kita ini, jika ia tidak selari dengan Al-Quran dan As-Sunnah(pihak paling berkuasa dalam hidup ini!) kita perlu bangkit dan keluar dari maksiat tersebut! Berhenti terus dari memakan ayam Nandos itu bukan berlagak tidak tahu ataupun merasakan perlu juga habiskan kerana rezeki tidak baik dibazirkan; kadang-kadang kita sampai ingin memuntahkan kembali segala isi perut kita kan?

Kenapa orang Malaysia amat sensitif isu makanan halal, babi dan seangkatan dengannya tetapi tidak yang lain-lain? sedangkan Islam itu syumul! bangun-bangun! Islam itu bukan solat dan puasa sahaja, namun undang-undang, ekonomi dan sosial. Betapa jahatnya musuh-musuh Islam merancang dan meracuni minda-minda kita semua dengan sekularisme!

Jika kita kembali kepada ayam Marrinated tadi, insyaAllah rasanya mungkin sahaja sama jika dimasak atau dibeli di kedai,maka rasa ayam tersebut tidak menjadi persoalan, kedua-duanya juga akan masuk ke dalam perut dicerna, diambil apa yang baik dan selebihnya dibuang. Tetapi yang membezakan adalah usaha dan kepuasan yang diperoleh, yakni input yang diberikan. Dan jika kita menjemput tetamu untuk datang ke rumah makan ayam marrinated kita, yang mana satukah yang akan lebih dihargai dan memberi kepuasan? Pastinya yang dimasak! Dan ia bukan sahaja memberi kepuasan kepada chef yang memasak namun kepada tetamu kerana rasa lebih dihargai dan 'penting'.

Maka marilah kita saling mengingatkan bahawa di akhirat nanti yang menjadi pemberat bukanlah hasil, namun usaha! Semakin banyak usaha yang kita letakkan semakin tinggi peluang untuk bertemu Yang Maha Esa dan itulah cita-cita setiap hamba-hamba.

Masa depan

Aku sendiri masih samar-samar apa yang akan berlaku di tunisia, sudan, mesir dan turki apatah lagi di tanah air. Mungkin jua ini hanyalah satu lagi 'red herring' mainan musuh-musuh Islam untuk melenakan lagi kita dari tidur sekiranya perubahan yang dijangkakan tidak kesampaian, ataupun ujian dari Allah sekiranya harapan tidak menjadi kenyataan. Namun ingatlah wahai diri dan saudara seagamaku, yang penting usaha dan aku bangga dengan usaha ikhwah dan akhawat ku! Dan pastinya Allah swt lebih bangga dengan mu!

Saudaraku di tanah air, tidakkah engkau tercabar dengan saudaramu di seantero dunia?
Masih mahukah kita menjadi penonton atau turut sama turun ke padang bermain bersama-sama saudaramu? Tepuk dada tanyalah iman, iman perlu didasari dengan amal dan akhlaq yang benar, dan keduanya datang dari ilmu yang benar juga.

Ya Allah, Engkau masukkan kami dalam jalan kebenaran dan keluarkan kami juga dari jalan kebenaran. Pimpinlah kami dalam setiap langkah kami dan berikan kami istiqamah dalam jalan kebaikan.Ameen ya Rabb.

'..Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya.' (Ar-Rad:11)


Comments

  1. Ameen..
    Syukran utk perkongsian ini..
    moga kita bukan sekadar penonton..

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Pena telah diangkat dan dakwat telah kering

Being sick, stressful and thankful at the same time

Being alone