Penyuluh jalan
Alhamdulillah segala puji-pujian bagi Allah swt yang membangunkan dan mengembalikan jasad diri kembali pada setiap pagi. Alhamdulillah, terima kasih ya Allah di atas segala nikmat dan ujian kurniaan mu.
'Life is about choices'
Sungguh tahun ini tahun paling mencabar, sungguh banyak sekali perlu difikirkan kadang-kadang rasa penat untuk berfikir tetapi bukankah erti hidup itu untuk membuat pilihan?
Bila sahaja kita bangun dari tidur, malah untuk bangun tidur juga merupakan pilihan yang dipilih oleh diri. Apatah lagi mengenai arah tuju hidup kita, pilihan di tangan kita, mahu yang baik atau yang buruk, kita sahaja yang mampu memilihnya. Allah telah berfirman yang bermaksud:
'Tiada paksaan dalam agama (Islam) kerana telah jelas kebenaran dan kekufuran...' (Al-Baqarah:256)
SubhanaAllah, telah Allah khabarkan kepada hamba-hambaNya telah jelas kebenaran dan kebatilan itu, maka mengapakah masih ramai antara kita yang membuat pilihan yang salah? Allah sendiri telah menjawab:
'Dan di antara mereka pula ada yang memandang kepada perkara-perkara yang engkau tunjukkan (tetapi mereka tidak nampak kebenarannya sebagai orang buta); maka engkau (wahai Muhammad) tidak berfaedah menunjuk jalan kepada orang-orang yang buta, juga kalau mereka menjadi orang-orang yang tidak mahu melihat (perkara yang engkau tunjukkan itu.' (Yunus:43)
'Maka adakah orang yang mengetahui bahawa Al-Quran yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu itu (wahai Muhammad) perkara yang benar, sama dengan orang yang buta mata hatinya? Sesungguhnya orang-orang yang mahu memikirkan hal itu hanyalah orang-orang yang berakal sempurna. ' (Ar-rAd:19)
'Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya dengan melihat kesan-kesan yang tersebut mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada. ' (Al-Hajj:46)
Ya,itulah jawapannya, mata hati dan akal yang tidak digunakan untuk berfikir dengan sempurna membawa kepada kecenderungan kepada kesesatan di dalam hati. Rasulullah saw juga telah bersabda bahawa 'letakkanlah tangan mu di atas dadamu jika ia resah gelisah maka tinggalkanlah ianya...' jelaslah bahawa hati adalah RADAR terbaik yang telah Allah swt berikan kepada hambaNya untuk menjadi panduan agar selamat di dunia dan akhirat. Maka marilah sahabat kita sama-sama berusaha menjaga hati kita supaya ia tidak buta dan menyebabkan kita sesat di dunia ini.
Kembali kepada tajuk masa depan, akhirnya aku mengambil keputusan, aku perlu merancang supaya aku tidak merancang untuk gagal namun aku perlu betul-betul hadam bahawa Allah jualah yang Maha Merancang dan Menentukan. Moga apa yang dirancang adalah yang terbaik untuk agamaku ya Allah.
Apa yang ada di depan?
Shafiqah Aina Nasir terima kasih kerana sudi menjadi tetamu istimewa ku di Middlesbrough, hanya Allah yang tahu girangnya dan bersyukur diri ini. Dan bila dua insan ini bertemu perancangan masa depan menjadi topik utama kami :)
Apa yang ada esok hari? Lusa? Apatah lagi masa depan diri? Tiada siapa yang tahu kecuali DIA.
'Fear will always get you especially when you are facing with uncertainties. When there is darkness ahead of you which is the future! And as the saying goes, don't be afraid of the dark, overcome the fear by bringing the light with you.'
Ya,cahaya untuk mengatasi kegelapan itu, apakah cahaya itu?
'Dengan (Al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaanNya dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya(iman) yang terang-benderang, dengan izinNya dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus.' (Al-Maidah:16)
Jika kita takutkan masa depan, berimanlah dengan rukun iman yang ke 6,
Jika kita takutkan kehilangan harta,anak-anak, ketahuilah bahawa itu semua hanyalah pinjaman dari Sang Pencipta kepada kita dan pinjaman bermakna ia hanyalah sementara,
Jika kita takutkan neraka, janganlah kita menjadi pengikut syaitan.
Apa jua yang kita takutkan dan membuatkan hati ini gelisah dan diri tidak keruan,
Carilah jawapannya di dalam Al-Quran, kerana segala-galanya ada di dalamnya kerana ia adalah penawar kepada hamba-hambaNya.
Allah tidak akan pernah menzalimi hambaNya dan membiarkan hamba-hambaNya begitu sahaja.
Hanya kita sahaja yang salah membuat pilihan dalam kehidupan.
Maka mari kita sama-sama berubah ke arah kebaikan.
Moga hari esok kita lebih bijak membuat pilihan kerana pilihan yang dibuat akan dipersoalkan di muka pengadilan kelak!
Comments
Post a Comment