Batas asa ku
Tangan ini masih juga ingin mencoretkan rasa di hati walau seluruh tubuh begitu letih sekali. Minggu ini aku berkerja cukup 7 hari dan paling getir ujian yang diberi aku kembali merasa 'malas' untuk melangkahkan kaki ke hospital, yang akan bakal aku kunjungi setiap hari tidak lama lagi sehingga nafas ku ini berhenti,insyaAllah. Maka sikap ini membuatkan aku bermuhasabah dan memikirkan kembali hakikat diri ini. Mengapa aku melakukan semua ini? Adakah kerana pangkat? harta? Sungguh tiada ertinya jika aku termasuk dalam golongan mereka.
Suatu perkara yang aku yakin DIA ingin aku fahami adalah mengenai niat, tidak cukup dengan itu ia perlu disulami sabar dan taqwa dan dihiasi tawakal. Dengan keyakinan penuh bahawa setiap usaha ini bukannya untuk dunia namun untuk dunia yang lebih abadi yakni di akhirat nanti.
Setelah 5 tahun menjadi pelajar perubatan, satu yang aku pelajari adalah aku tidak akan mampu menjadi sempurna- tahu segala-galanya dan mahir semua kepakaran yang ada. Sungguh, walau lama mana aku dalam bidang ini, aku tidak pernah sedikit pun rasa pandai malah merasa semakin kurang pandai :( Alhamdulillah, aku yakin ada hikmahnya. Sama sepertinya dengan hidup ini, saling memerlukan dan saling melengkapi seperti mana setiap bidang dalam perubatan sama pentingnya dan sentiasa memerlukan satu sama lain.
Hari ini aku rasa amat letih dengan ragam manusia, 5 orang pesakit dimasukkan ke wad kerana cuba untuk membunuh diri! Kemudian ketika bercakap dengan pesakit tua ini, pesakit di hadapannya merungut kerana kebisingan kami (mak cik tersebut pekak dan lupa untuk membawa alat bantu pendengarannya), aku bagaikan ingin menyahut, 'You might be in her place too you know!! Saat itu juga aku terdetik, penatnya bercakap dengan mak cik ni,tak ke mana perbualan ini. Geram dengan diri sendiri! Seorang doktor tidak boleh ada perasaan ini, hati ini perlu penuh dengan kasih sayang dan niat untuk membantu, bukannya mengharapkan pesakit yang mudah diuruskan sahaja!
Banyak sungguh aku bermonolog dalaman akhir-akhir ini dan membuatkan aku resah, mungkin ini sindrom nak final! Namun aku teringat kata-kataNya yang bermaksud:
'Manusia tidak jemu-jemu memohon kebaikan dan kalau dia ditimpa kesusahan maka menjadilah dia seorang yang sangat berputus asa, lagi sangat nyata kesan putus harapnya (dari rahmat pertolongan Allah). ' (As-Fussilat:49)
Astaghfirullah, ya Allah, maafkan hambaMu ini sekiranya terdetik di hati ku ini putus asa ku pada rahmatMu. Betapa lemahnya hambaMu ini ya Allah.
' Nabi Ibrahim berkata: Dan tiadalah sesiapa yang berputus asa dari rahmat Tuhannya melainkan orang-orang yang sesat. ' (Al-Hijr-46)
Maka, aku bermula kembali dengan lafaz bismillah, ya Allah murnikan niat di hati ku ini,
berikan aku kekuatan berdepan semua dugaan masa kini dan masa depan yang pastinya lebih mencabar. Jadikan semua ini bekalan agar aku lebih baik dari hari sebelumnya,insyaAllah.
'Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.' (Az-Zumar:53)
Comments
Post a Comment