Jangan berharap pada manusia

Alhamdulillah ya Allah di atas segala nikmat yang telah Engkau berikan kepada hambaMu ini, yang penuh dosa dan keluh kesah. Namun tidak pernah Engkau menzalimi hambaMu ini. Terima kasih ya Allah.

'Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini.' (Al-Furqan:63)

Allahu ya Salam, berilah ketenangan pada hati ini. Sungguh jika jiwa berharap pada pandangan makhluqnya yang lain nescaya kecewalah hati ini sentiasa. Apatah lagi jika pergantungan hidup diberikan kepada makhlukNya yang lemah dan tidak disandarkan kepada Pemilik Jiwa. Namun disebabkan kelemahan hamba-hambaNya sentiasa memerlukan kepada sesuatu yang zahir untuk dijadikan sandaran maka hati-hati itu sentiasa dalam keadaan kecewa dan sedih bila yang diharapkan tidak kesampaian, kecuali kepada mereka yang bergantung secara total kepada Allah swt dan mempercayai yang ghaib.

'Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.(Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri. '(Al-Hadid:22-23)

Maka hanya jiwa-jiwa yang ber tawakal kepada ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah swt sahaja tiada berduka ketika ujian melanda dan tidak sombong ketika nikmat tiba kerana sedar bahawa segalanya adalah milikNya, semua di dunia hanyalah fatamorgana dan pengharapan kepada sebuah ilusi adalah sia-sia.

Aku semakin sedar hakikat ini dengan pertambahan umurku, sungguh aku bersaksi ya Allah, tiada kekuatan melainkan dari Mu. Tiada yang kekal melainkan RabbMu. Dan itulah hakikat kehidupan untuk mengerti makna kehambaan yakni penyerahan seluruh hidup kepada empunya diri. Allah hu Allah. Walau sungguh lemah jiwa ku kini, aku syukuri kerana Engkau mentarbiyyah aku supaya aku mengerti hakikat ini kini sebelum aku betul-betul turun ke medan tempur ku tidak lama lagi. Terima kasih ya Allah.

Niatkanlah segala tindakan hanya kerana Allah kerana bila seluruh isi dunia membelakangkanmu engkau akan tetap pada posisimu kerana hanya redha Allah swt sahaja yang dihajati dan bukannya untuk membahagiakan manusia. Selagi mana engkau menurut Al-Quran dan As-Sunnah teruskanlah langkahmu wahai diri, kerana dunia ini akan sentiasa mempermainkan dirimu, namun satu yang pasti, selagi engkau menjaga agamamu, Allah akan bersamamu, dan siapakah yang lebih baik untuk menjadi teman setia perjalananmu melainkan pemilik seluruh isi dunia, Al-Hafiz.

Hidup ini terlalu singkat untuk memikirkan apa pandangan manusia terhadapmu, sudah cukup masa terbuang dengan tidur,makan dan perbualan kosong. Maka, teruskanlah diri walaupun payah, walaupun engkau terasa seperti ingin tersungkur kerana yakinlah pada janji Allah swt, cukuplah DIA sebagai pelindungmu, hasbunaAllah wa ni'mal wakil.

Akan aku pekakkan telingaku dengan mainan bahasa manusia,
Walau setajam mana kata-kata mereka,
Aku akan pertahankan agamaku ini,
Walau seluruh isi dunia membenciku,
Cukuplah Engkau bersamaku,
Jangan biarkan hambaMu ini tersungkur di persimpangan jalan ini,
Moga aku sampai ke destinasi untuk bertemuMu,
Kerana di situlah letaknya kebahagiaan abadi.

Comments

Popular posts from this blog

Pena telah diangkat dan dakwat telah kering

Being sick, stressful and thankful at the same time

Being alone