Mak
Alhamdulillah di atas segala nikmat yang telah dikurniakan olehNya. Alhamdulillah selesai menghantar Nad dan ibunya ke stesen kereta api aku terus masuk ke dalam gerabak untuk bergerak pulang ke Middlesbrough.
Hati berbolak balik, antara perasan sedih kerana sahabat baik ku dan ibunya pulang ke tanah air dan bersemangat untuk pulang menelaah pelajaran. Namun, akhirnya perasaan sedih lebih menguasai diri dan hati ini amat merindui, mak!
Di kala hati rasa sunyi, aku akan merenung kasih sayang mak yang bisa meleburkan rasa kesunyian diri. Lebih-lebih lagi tinggal seorang diri di desa kecil ini, amat senang untuk aku merasa sedih dan sunyi. Dan sempat juga menonton cerita Aku ingin ke syurga (yang amat menarik untuk dilihat, link untuk menonton cerekarama tersebut) bagaimana kasih seorang ibu takkan pernah berhenti walau apa jua situasinya.
'Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha" dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)' (Al-Isra':23)
Sungguh, seperti yang dijanjikan olehNya, ibu takkan pernah berhenti menanggung kepayahan demi kepayahan demi anak-anaknya (surah Luqman), subhanaAllah, Engkau titipkan kasih sayang tidak terhingga kepada hati-hati mulia itu.
Bagaimana pula kita?
Dalam sehari, cukupkah kita mengingati mereka? ingatkah kita untuk menitipkan doa kepada mereka? Pernahkah kita menitiskan air mata untuk mereka?
Sungguh, betapa hinanya hambaMu ini ya Allah.
Setiap kali aku menghubungi mak, mak mesti berkata, 'Nanti ema balik, kita ... ' betapa hati mulia itu begitu berharap agar anaknya berada di sisinya.
Ya Allah, kuatkanlah semangat diriku di kala aku berasa amat lemah, kasihanilah kami dan limpahilah kami dengan inayahMu, jangan Engkau biarkan kami sendiri ya Allah. Ameen ya Rabb.
Lailatulema Abbas, 7 bulan lagi hingga peperiksaan terakhir dalam perjuangan singkat mu ini,
Jangan mudah berputus asa!
Teruskan kerana perjuangan yang lebih besar bakal menanti mu bila pulang kelak,
Maka jangan biarkan diri mu tersungkur di pertengahan jalan ini.
Comments
Post a Comment