Moga ini raya terakhir ku di perantauan
Alhamdulillah, segala puji-pujian hanyalah kepada Allah swt, pemilik seluruh alam semesta tiada Tuhan yang disembah melainkan Dia.
Salam Aidiladha dari kejauhan, moga setiap amalan dan pengorbanan diterimaNya dan mendapat redha Allah swt buat peneman perjalanan hidup yang masih jauh ini.
InsyaAllah, moga ini adalah raya terakhir aku di sini. Namun kali ini mungkin merupakan tahun yang paling sayu kerana keseorangan untuk raya kali ini, tiada teman peneman bicara memberi kata dorongan dan meniupkan semangat. Allah itu Maha Adil, adil kerana perkiraannya hanya tiba bila tahun ke lima ku di sini maka Dia berikan ujian lebih berat setimpal dengan kesanggupan hambaNya ini. Alhamdulillah.
Sekiranya manusia diberikan ujian yang sama setiap kali, maka pasti mati kebosanan hidup kita, sepertimana kita bermain permainan video, setiap kali kita akan lebih terikat untuk bermain dan melepasi tahapan yang sedia ada untuk ke tahap yang lebih sukar. Namun, kerana sikap gopoh gapah kita sepertimana yang telah diperincikan oleh Allah swt dalam Al-Quran, kita sering lupa hikmah di sebalik ujian dan mudah untuk berkeluh kesah, termasuklah diri hambaMu yang hina ini.
'Dan sebaliknya apabila dia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, (dia tidak bersabar bahkan dia resah gelisah) serta merepek dengan katanya: Tuhanku telah menghinakan daku!' (Al-Fajr:16)
Namun ingatlah sesugguhnya,
'tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar) dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.' (At-taghabun:11)
Moga kami semua dimasukkan ke dalam golongan mereka yang dipimpin oleh Mu ya Allah.ameen.
Bersempena hari raya haji, insyaAllah saya ingin bersama-sama mengajak sahabat semua untuk bermuhasabah mengenai peristiwa yang membawa kepada tuntutan korban ini. Ayuh,sama-sama bukakan minda, fikir dan zikir, kemudian menzahirkan ibrah yang didapati ke dalam perilaku diri,insyaAllah.
Dia kekasih Mu
Menelusuri kisah Nabi Ibrahim membuat diri tergamam, betapa dekatnya kisah baginda dan indahnya kisah perjalanan hidup seorang hamba Allah yang amat dikasihiNya ini.
Bermula al-kisah baginda dan isteri tidak mampu untuk melahirkan zuriat tambahan diri dimamah usia sepertimana Allah mengisahkan dalam Surah Hud:71-73
'Dan isterinya pada ketika itu berdiri (mendengar), lalu dia ketawa (kerana hilang perasaan takutnya). Maka Kami pun memberikan berita yang menggembirakan kepadanya (melalui malaikat itu), bahawa dia akan mendapat seorang anak: Ishak, dan sesudah Ishak, (dia pula akan mendapat seorang cucu): Yaakub. Isterinya berkata: Sungguh ajaib keadaanku! Adakah aku akan melahirkan anak padahal aku sudah tua dan suamiku ini juga sudah tua? Sesungguhnya kejadian ini suatu perkara yang menghairankan. Malaikat-malaikat itu berkata: Patutkah engkau merasa hairan tentang perkara yang telah ditetapkan oleh Allah? Memanglah rahmat Allah dan berkatNya melimpah-limpah kepada kamu, wahai ahli rumah ini. Sesungguhnya Allah Maha Terpuji, lagi Maha Melimpah kebaikan dan kemurahanNya.' (Hud:71-73)
Dan kemudian baginda diarahkan oleh Allah swt untuk meninggalkan Siti Hajar dan Ismail di tanah kering tiada berpenghuni. Bayangkan setelah lama menantikan kelahiran seorang anak si bapa terpaksa meninggalkannya sehelai sepinggang, hanya kepada Allah swt baginda berserah dan bertawakal. Kita semua maklum sai'e aitu sebahagian daripada ibadah haji merupakan perlakuan Siti Hajar mencari air untuk si anak kecil istimewa itu dan hingga kini menjadi amalan untuk memperingati peristiwa tersebut.
Setelah kembalinya baginda dari Syam, mereka kembali bersama menjalani hidup; penuh kebahagiaan dan gelak tawa seorang anak dan bapa.Rasa rindu dilepaskan sepuas-puasnya. Namun, langit tidak selalu cerah, janji Allah itu pasti. Satu lagi pengorbanan diminta dari Pemilik nyawa.
'Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?. Anaknya menjawab: Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar.Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu) dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami). Serta Kami menyerunya: Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar. Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian.Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim! Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu dari hamba-hamba Kami yang beriman. Dan Kami pula berikan kepadanya berita yang menggembirakan, bahawa dia akan beroleh (seorang anak): Ishak, yang akan menjadi Nabi, yang terhitung dari orang-orang yang soleh. ' (As-saffat:101-111)
Tiada ayat mampu menggambarkan rasa cinta dan penyerahan total hamba Allah yang mulia ini. Ujian demi ujian datang bertimpa, namun baginda tidak berganjak sedikit pun dari jalanNya. Betapa murninya cinta baginda kepada Allah swt sanggup untuk berkorban segala apa pun miliknya. Dan anaknya juga persis sepertinya.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar
Pengajaran
1. Tiada hamba yang mampu lari dari ujian yang diberikan oleh Allah swt, namun satu yang pasti, tiada ujian tiba melainkan sesuai dengan kesanggupan hamba-hambaNya. Itu bukti keadilan Yang Maha Esa
2. Cinta memerlukan kepada pengorbanan sebagai bukti ketulusan hati, apatah lagi cinta kepada Yang Maha Agung yang maharnya tidak kan mampu untuk dibayar oleh seorang hamba. Hanya dengan rahmat dan kasih sayang Nya yang melayakkan kita. Maka, marilah bersama berkorban apa yang termampu dan berharap bahawa Allah memberikan rahmahNya.
3. Sabar, itulah kunci kepada kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Sabar dalam ujian nikmat dan kesusahan. Syukur walau apa jua yang menimpa kerana itulah sebahagian dari sabar.
4. Allah itu tidak akan pernah menzalimi hamba-hambaNya. Lihatlah kepada seluruh kisah Nabi Ismail, setiap kesusahan pasti ada kesenangan yang menyusul kerana itu janjiNya. Yakin dan redha pada ketentuanNya dan pasti mentari akan bersinar kembali. Jika tidak di sini, di akhirat nanti,insyaAllah.
Akhirul kalam, moga aku jua menjadi setabah dan seikhlas kekasih Mu ini. Ameen
Comments
Post a Comment