Tegakkanlah agamamu
Alhamdulillah, segala puji-pujian hanyalah kepadaMu, Yang Maha Mendengar lagi Mengetahui, setiap suara hati,keluhan dan pujian makhluqMu.
Alhamdulillah Allah berikan keberkatan masa untuk membuka kembali lembaran-lembaran buku karangan Said Hawwa dan kali ini aku berjanji untuk mencoretkan isi-isi penting dari siri buku beliau iaitu Thaqafah Jundullah. Bukan bermaksud menulis setiap satu isi kerana saya merasakan ini merupakan bahan bacaan wajib setiap dari kita yang menggelarkan diri sebagai seorang jundullah/hizbullah/ansarollah agamaNya. InsyaAllah tujuan artikel ini ditulis adalah sebagai bahan muhasabah dan hasil fikir dan zikir untuk membangunkan diri dari tidur yang terlalu lena ini.
Maka, wahai saudara seagamaku, selamilah bahawanya aku menulis bukan untuk tujuan propaganda namun untuk menyeru kepada kebenaran demi redha Yang Maha Esa.
Pendahuluan: Apakah di dunia Islam ada pemurtadan?
Musuh-musuh Islam dari dahulu hingga kini senantiasa merancang untuk menghancurkan umat Islam dan kebatilan yang terancang akan dapat mengalahkan kebenaran yang tidak tersusun. Maka itulah hakikatnya kini , umat Islam diperkotak-katikkan oleh mereka yang benci kepada Islam dan tanpa kita sedari kita telah membelakangkan agama Islam sendiri sepertimana firmanNya :
'Sesungguhnya orang-orang yang kembali ke belakang (kepada kekafiran) sesudah petunjuk itu jelas bagi mereka, syaitan telah menjadikan mereka mudah (berbuat dosa) dan memanjangkan angan-angan mereka. Yang demikian itu kerana sesungguhnya mereka (orang-orang munafiq) itu berkata kepada orang-orang yang membenci kepada apa yang diturunkan oleh Allah swt (orang-orang Yahudi), 'Kami akan mematuhi kamu dalam beberapa urusan...' (Muhammad:25-26)
'...Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir.' (Al-Maidah:44)
'Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang suatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul (sunnah), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. Apakah kamu tidak memerhatikan orang-orang yang mengaku dirinya telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadamu dan kepada apa yang diturunkan sebelum kamu? Mereka hendak berhakim kepada taghut, padahal mereka telah diperintah untuk menolak taghut itu. Dan syaitan bermaksud menyesatkan mereka (dengan) penyesatan yang sejauh-jauhnya.' (An-Nisa:59-60)
Rujuk juga: (Yusuf:40), (An-Nisa:65) dan (Al-Baqarah:84-85)
Dan ketahuilah wahai saudaraku, musuh-musuh Islam itu semuanya telah berjaya dalam memalingkan kita jauh dari hukum Allah swt, lihat di mana-mana sahaja negara Islam kini, apakah tunjang perundangan, sosial, ekonomi dan segalanya? Sungguh benar janji Allah itu! Jika wujud undang-undang Islam, ia jauh dari tempat yang selayaknya, hanya sekadar menguruskan ibadah khusus seperti kahwin dan cerai. Tepukl dada, tanyakan iman di hati, apakah kita telah menzalimi agamaNya?
Tidak akan berjaya sekiranya dakwah fardhi sahaja menjadi fokus perjuangan kerana waqi' kini membuktikan bahawa segala aspek kehidupan pada zaman ini diatur oleh negara! Pendidikan, media, pentadbiran yang merangkumi undang-undang, ekonomi dan badan pelaksana semuanya dipusatkan kepada badan kerajaan. Maka perlu ada usaha untuk menjernihkan kembali jahiliyyah yang telah lama sebati sejak runtuhnya khilafah Islamiyyah dan bermulanya zaman penjajahan yang bukan sekadar menjajah negara kita namun juga menjajah minda kita sehingga kini walau kita telah merdeka! Pemikiran kita di doktrinkan bahawa agama dan kehidupan itu tiada titik pertemuannya. Maka politik itu dikira sebagai benda yang jijik dan tidak termasuk sebagai tuntutan agama. Wahai saudaraku, ingatlah kembali bahawa Rasulullah saw menjadikan masjid pusat pemerintahan- termasuklah berpolitik di dalam masjid!!! Tiada slogan 'jangan politikkan agama' kerana tuntutan agama itu termasuklah pemerintahan sesebuah negara!
Sedarilah bahawa Islam itu merupakan agama yang syumul dan perlu diletakkan di tempat yang selayaknya kerana jika tidak akan Allah berikan bala bukan hanya kepada golongan yang engkar namun jua pada golongan yang beriman.
'Ini adalah satu surat yang Kami turunkan dan Kami wajibkan (menjalankan hukum-hukum yang ada di dalamnya).'(An-Nur:1)
'Dan perangilah mereka, supaya jangan ada fitnah dan supaya agama itu semata-mata untuk Allah.'(Al-Anfal:39)
Saya juga masih ingat kata-kata Ustaz Kazim Elias, betapa penjajah menjajah minda umat Melayu sehingga kebanyakan kita mendapat panggilan Ilahi tanpa menyedari dan memahami Islam itu bermakna suatu cara hidup dan bukan sekadar ibadah khusus; solat,puasa,haji dan zakat semata! Astaghfirullah, ampunkan kami ya Allah dan berikan kami hidayah dan taufiqMu untuk mengenali agamaMu.ameen Ya Rabb.
Marilah bersama wahai sahabat, sama-sama kita mengenali deen-ul-haq ini dalam erti kata sebenarnya. Pasakkan niat,usahakan untuk mendapatkan ilmu yang benar dan bermanfaat agar natijahnya Allah memberikan taufiq Nya untuk kita beramal dengannya. Di mana akhirnya moga kita lebih mengerti bahawa Islam itu bukan hanya sekadar suatu 'ritual' agama tetapi ia merangkumi segenap kehidupan dan perlu diletakkan di tempat yang paling tertinggi. Kemudian barulah musuh-musuh Islam akan hancur kerana Allah menurunkan nusrah (bantuan) Nya hanya kepada mereka yang kembali kepada Allah dan RasulNya. Ingatlah kemenangan bukanlah hak milik kita tetapi ketentuan dari Allah swt secara mutlak bila mana DIA ingin untuk memberikannya. Jadi pastikan kita termasuk dalam golongan mereka yang menyumbang kepada usaha murni ini dan bukan hanya menjadi pendengar mahupun penonton setia.
Pilihlah jalan yang terbaik dan bersumberkan Al-Quran dan As-Sunnah bukan hanya kerana logik akal, kehebatan berhujjah apatah lagi nafsu,naudzubillah.
'Ingatlah mencipta dan memerintah hanyalah hak Allah' (Al-A'raf:54)
Comments
Post a Comment