Pengalaman berharga, menyuntik semangat anak muda

Alhamdulillah, semalam saya telah berpeluang berbual dengan Ustazah Jamilah Ibrahim dan banyak sungguh nasihat dan semangat yang terkesan di hati dan insyaAllah akan cuba saya garapkan di sini.

'Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya) dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya dia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.' (Al-Baqarah:269)

Pengalaman; hikmat kebijaksanaan merupakan hikmat; nikmat dari Allah swt dan hanya bagi mereka yang berfikir maka bergunalah ianya bagi diri mereka. Moga perkongsian ini bermanfaat buat diri saya yang masih mentah dalam dunia ini dan menjadi bekalan sepanjang jalan dalam mencari redha Allah swt ini dan sahabat semua.

Tugas dakwah merupakan amanah dan tugas yang mulia dari seorang Tuan kepada hambanya, namun tidak semua hambaNya sedar akan tanggungjawab yang dipikulnya. Bagi mereka yang SEDAR dan diberi taufiqNya maka beruntunglah dirinya. Namun kesedaran ini perlu dipandu dengan BENAR. Ayat di atas telah menekankan kepentingan ilmu atau 'hikmat kebijaksanaan' dan menyatakan bahawa sesiapa yang diberi 'hikmat' tersebut maka dia telah diberikan kebaikan yang banyak.

Dengan ILMU hamba-hambaNYA akan menjadi khalifah yang adil di bumi ciptaanNya ini. Sepertimana ayat yang pertama diturunkan, iqra', yakni bacalah yang menekankan lagi kepentingan menuntut ilmu. Ilmu yang dicari perlulah menjadi bekalan hidup di dunia dan akhirat agar tiada sesalan kelak di hari penghitungan. Seorang doktor yang mempunyai ilmu kedoktorannya (ilmu dunia) namun tiada kesedaran mengenai syariatNya akan hanyut dengan dunia yang penuh kepalsuan. Dia hanya akan merawati penyakit fizikal pesakitnya dan membiarkan penyakit jiwa yang bersarang terus membelenggu dan melemaskan dirinya.

Sekiranya seorang doktor berjaya merawat penyakit fizikalnya namun dek kerana lemahnya jiwa/rohani pesakit tersebut mungkin sahaja membunuh diri kerana tidak tahan dengan tekanan kehidupan. Berlawanan dengan doktor yang mampu merawat fizikal dan rohani pesakitnya, apa jua yang berlaku tidak akan meruntunkan jiwa kerana percaya kepada qda' dan qadar sesuatu kejadian.

Dakwah merupakan kerja yang memerlukan kepada sentuhan jiwa serta hati, disertai usaha pembaikan berterusan seorang hambaNya untuk mencari redha Ilahi. Keberkesanannya terpamir pada penerapan konsep ehsan dan pembentukan akhlaq mulia sepertimana Rasulullah saw mendidik sahabat-sahabat baginda. Dakwah pada erti sebenar, tidak kenal erti jerih dan payah, tidak mengharap kepada hasil namun yakin bahawa usaha walau sekecil zarah merupakan sumbangan kepada agamaNya.

Setiap pertuturan membawa seribu makna, sebagaimana kata pepatah, kata-kata lebih tajam daripada mata pedang. Akhlaq yang mulia juga perlu terbukti melalui pertuturan dan percakapan hambaNya. Maka seseorang yang menggelar diri seorang dai'e perlu menjaga pertuturan dan berhikmah dalam setiap tindakannya. Konsep ehsan pula mengukuhkan lagi semangat dan memurnikan niat hanya kerana Allah swt, ia juga menidakkan konsep 'kepura-puraan' atau hipokrit dalam diri.

Bahu yang memikul lebih berat daripada mata yang memandang. Begitulah jua tugas dakwah ini, amar ma'ruf nahi mungkar yang dilaksanakan perlu diKERJA kan atau di AMAL kan dan bukan sekadar omong-omong kosong. Seorang pejuang perlu senantiasa ber muraqabah kepada Allah swt dan mempertingkatkan amal ibadatnya sebagai salah satu bekalan dalam perjalanan.

'(Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar) bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi perintahNya) sedang dia pula berusaha supaya baik amalannya, maka dia akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya dan tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita.' (Al-Baqarah:112)

Setiap dari kita perlu memanfaatkan kelebihan diri yang ada dan berusaha menjadi 'ahli' dan cemerlang dalam bidang yang diceburi agar dapat menyumbang secara optimum untuk agamaNya ini. Janganlah menjadi pejuang yang tersungkur di pertengahan perjalanan kerana kurangnya bekalan yang diperlukan, yang telah Allah khabarkan dalam Al-Furqan.

Al-Quran, segalanya telah dibentangkan di dalam ayat-ayat cintaNya itu. Janganlah kita termasuk dalam golongan mereka yang rugi dan alpa dengan dunia hingga tidak peduli dengan hakikat kehidupan yang telah jelas diterangkan dalam al-quran. Bukalah dan bacalah, kajilah dan fikirlah setiap satu huruf dan ayat yang diturunkan pasti ada 'hikmat' daripadanya.

مَنْ يُرِدِ اللهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّيْنِ
“Siapa yang Allah kehendaki kebaikan baginya, Allah akan memfaqihkannya (memahamkan) dalam agama.”

Comments

Popular posts from this blog

Pena telah diangkat dan dakwat telah kering

Being sick, stressful and thankful at the same time

Being alone